fb fb fb fb fb

Polis tahan lelaki, rampas 248 biji pil ekstasi

Foto fail/ RTM

LUNDU , 21 Oktober - Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah bernilai RM12, 400 dalam satu serbuan di Kampung Rukam, Lundu, Sarawak, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram menerusi kenyataan memaklumkan, rampasan melibatkan 248 biji pil berwarna biru disyaki dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat 100.93 gram.

Beliau mendedahkan, semakan terhadap suspek berusia 41 tahun yang ditahan, mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah.

Suspek direman tujuh hari hingga 27 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

EMMI NORALIZA ADNAN