fb fb fb fb fb

Tiga lelaki terbabit kes samun ditahan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 22 September - Polis berjaya memberkas tiga lelaki yang disyaki terlibat kes samun Jalan Kampung Pasir,Pantai Dalam dengan menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian pada awal pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Hoo Chang Hook, empat lelaki ditemukan dalam keadaan mencurigakan ketika sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Pantai membuat rondaan.

Mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan melaporkan bahawa tiga suspek mengacukan sepucuk pistol sebelum merampas kad pengenalan, telefon bimbit dan dompet miliknya.

Suspek kemudiannya cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal namun berjaya ditahan oleh pasukan polis yang bertindak pantas di lokasi.

"Ketiga-tiga suspek berjaya diberkas bersama sepucuk pistol, pemetik api berbentuk pistol (pistol tiruan), dua buah motosikal serta beberapa barangan peribadi mangsa.

"Modus operandi suspek ialah menyasarkan penunggang motosikal atau individu bersendirian dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis. Suspek kemudiannya akan menunjukkan pistol tiruan kepada mangsa dan melakukan pemerasan wang tunai atau barangan peribadi serta mengugut untuk dibawa ke Balai Polis jika enggan menyerahkan wang tunai." kata ACP Hook dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk masih dikehendaki bersabit kes Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD