fb fb fb fb fb

Inkues Zara Qairina: Keterangan pelajar A bersambung hari ke-12

Dijangka beberapa lagi saksi kanak-kanak akan tampil memberi keterangan, termasuk Pelajar B, C, D dan E, yang dijadualkan pada Rabu ini

KOTA KINABALU, 23 September -Pelajar A meneruskan keterangannya pada hari ke-12 prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, pagi ini.

Semalam, remaja berkenaan masih disoal oleh peguam keluarga Allahyarham, Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat.

Menurut pasukan pegawai pengendali kes yang dihubungi pemberita RTM, sesi soal jawab bersama Pelajar A bersambung hari ini.

Selepas keterangan Pelajar A selesai, dijangka beberapa lagi saksi kanak-kanak akan tampil memberi keterangan, termasuk Pelajar B, C, D dan E, yang dijadualkan pada Rabu ini.

Seperti dimaklumkan sebelum ini, semua prosiding saksi kanak-kanak berlangsung secara tertutup atau in camera, dengan saksi ditempatkan di bilik khas.

Proses semalam dilaporkan berjalan lancar.

Bagaimanapun, inti pati keterangan Pelajar A serta 34 lagi saksi kanak-kanak tidak boleh didedahkan, selaras dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang melindungi identiti mereka.

Akta tersebut melarang pendedahan nama, alamat, institusi pendidikan atau sebarang butiran yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak, sama ada saksi, mangsa atau tertuduh.

Dalam perkembangan berkaitan, semalam Koroner Amir Shah mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kerana didakwa menghina mahkamah melalui kenyataannya mengenai inkues berkenaan dalam satu majlis di Sandakan.

Ucapan beliau yang tular di Facebook antara lain mendakwa kematian Zara Qairina sebagai satu pembunuhan, selain mempersoalkan tatacara siasatan polis serta pakar patologi forensik.

Mohd. Shafie merupakan individu kedua dikenakan notis tunjuk sebab.

Sebelum ini, aktivis Che Muna Din atau Mona Din turut dikenakan tindakan sama pada 10 September lalu susulan hantaran Facebook yang mempertikai keterangan saksi pertama inkues, iaitu Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu.

Kenyataan tersebut, berisiko mempengaruhi pandangan awam serta mengganggu perjalanan prosiding.

Terdahulu, prosiding pada Jumaat lalu terpaksa ditangguhkan selepas Pelajar A enggan memberi keterangan berikutan kebocoran maklumat berkaitan keterangannya.

Berhubung isu tersebut, Polis Kota Kinabalu mengesahkan menerima laporan pada 19 September dan kini menjalankan siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menegaskan, sebarang pendedahan maklumat berkaitan kanak-kanak di media sosial merupakan satu kesalahan undang-undang.

TETITIA YUSOFF