fb fb fb fb fb

AKPS rampas produk ubat, kosmetik tidak berdaftar di Bukit Kayu Hitam

AKPS rampas produk ubat, kosmetik tidak berdaftar di Bukit Kayu Hitam/ Foto AKPS Bukit Kayu Hitam

KUBANG PASU, 22 September - Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk sejumlah produk tidak berdaftar melalui pintu masuk sempadan negara di Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Timbalan Komander ( Pengurusan ) AKPS Bukit Kayu Hitam, Dr Mohd Khairul Anuar Roselan dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam operasi kawalan rutin, pasukan penguat kuasa agensi itu telah menahan sebuah kenderaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan enam item disyaki kosmetik tidak bernotifikasi dan empat item disyaki produk ubat tradisional tidak berdaftar.

"Produk tersebut tidak mempunyai kelulusan daripada pihak berkuasa yang sah seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disyaki boleh menimbulkan risiko terhadap kesihatan awam.

"Tindakan membawa masuk produk tidak berdaftar merupakan satu kesalahan serius kerana ia boleh membahayakan keselamatan dan kesihatan orang awam.

"AKPS akan terus memperketatkan kawalan dan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan sempadan negara tidak menjadi laluan kepada aktiviti sebegini," menurut kenyataan itu.

Produk yang dirampas telah diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Pada masa sama AKPS menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak membeli produk yang meragukan atau tidak mempunyai kelulusan daripada pihak berkuasa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI