fb fb fb fb fb

JPJ tahan 'ulat' teksi di KLIA, kenakan caj hingga RM836

Azrin Borhan

BANGI, 22 September - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempergiat Operasi Ulat (Op Ulat) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 susulan isu tular membabitkan pelancong asing yang dikenakan caj tidak munasabah oleh individu menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, suspek menggunakan kereta Perodua Axia yang dipercayai disewa daripada pihak lain dan dipercayai bergerak secara berkumpulan.

"Walaupun sudah tular, dia masih berdegil meneruskan kegiatan itu. Modus operandinya adalah menanti pelanggan dari dalam terminal KLIA," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, manakala kenderaan yang digunakan turut disita.

Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahalu, JPJ dalam kenyataan memaklumkan seorang wanita berusia 30-an ditahan menerusi penyamaran anggota penguat kuasa di KLIA pada 1 pagi tadi selepas dipercayai cuba membawa pelancong dari Filipina dengan kadar tambang tinggi.

Sebelum ini, wanita sama tular di media antarabangsa apabila mengenakan caj RM836 terhadap pelancong dari China, sedangkan harga yang dipersetujui hanyalah RM83 bagi perjalanan ke Kuala Lumpur.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI