BATU PAHAT, 30 Ogos- Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Batu Pahat, Johor atas pertuduhan terbabit dalam upacara pemujaan menggunakan tarian kuda kepang di Parit Raja, tiga minggu lalu.
Tertuduh Muhammad Suhail Suttrysono, 35, Azman Mohamed Seh, 45, dan Anuar Bandi, 40, membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Syarie Syazwan Mohd Yusof.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Suhail dan Azman didakwa melakukan upacara pemujaan mengikut Seksyen Tiga Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.
Manakala Anuar didakwa bersubahat dalam upacara pemujaan itu dengan menjadi pemain muzik gendang mengikut Seksyen 43(b) Enakmen sama.
Kesalahan itu dilakukan di kawasan lapang sebuah rumah, Jalan Pasar, Parit Raja, 10 Ogos lalu.
Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin dua ribu ringgit seorang dengan dua penjamin daripada ahli keluarga yang bermastautin di Batu Pahat.
Sebutan semula pada 2 September ini untuk jatuh hukum.