fb fb fb fb fb

Pelajar PhD rugi lebih RM800,000 ditipu sindiket 'phone scam'

Foto hiasan

GEORGE TOWN, 30 Ogos - Seorang pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) warganegara China mengalami kerugian lebih RM800,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam).

Sindiket tersebut menyamar sebagai pegawai Biro Keselamatan Awam Shanghai.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa berusia 29 tahun itu membuat laporan selepas mendakwa diperdaya pada 4 Ogos lalu.

Mangsa menerima panggilan menyatakan terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan, kad kredit dan buku cek atas namanya yang dihantar dari Malaysia ke China.
 
"Panggilan itu kemudiannya disambung kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai Biro Keselamatan Awam Hong An. Suspek mendakwa akaun bank mangsa terbabit dalam aktiviti penipuan dalam talian di negara asalnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa seterusnya diarahkan membuat pemindahan wang, kononnya bagi tujuan siasatan ke beberapa akaun bank dan e-wallet yang diberikan sindiket.

Sejumlah 30 transaksi dibuat mangsa ke 11 akaun bank tempatan dan tiga akaun mata wang kripto dengan keseluruhan transaksi bernilai RM847,843.62.

Mangsa hanya menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada rakan sekelas sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada 28 Ogos lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN