BUKIT KAYU HITAM, 30 Ogos – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam merampas sebanyak 344.96 kilogram produk makanan yang tidak mempunyai dokumen pengesahan import sah dan perlabelan yang tidak mematuhi peraturan Akta Makanan 1983.
Rampasan dilakukan hasil pemeriksaan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Laluan PGA, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada 28 Ogos lalu.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata produk berkenaan dibawa masuk melalui kenderaan awam bersama pelbagai jenis makanan lain tanpa mematuhi peraturan Akta Makanan 1983.
Semua barang rampasan kini disimpan di stor sejuk dan akan dilupuskan selepas tempoh 30 hari mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan / Foto AKPS Bukit Kayu Hitam
“Anggaran nilai rampasan berjumlah RM5,000 berdasarkan harga semasa pasaran tempatan,” katanya menerusi kenyataan.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dalam operasi tersebut. Barang rampasan diserahkan secara sukarela oleh pemilik kepada pihak AKPS sebelum diserahkan kepada KKM untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, semua barang rampasan kini disimpan di stor sejuk dan akan dilupuskan selepas tempoh 30 hari mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan.