KUALA LUMPUR, 29 Ogos- Pelbagai barangan dipercayai diseludup bernilai lebih RM13 juta berjaya dirampas menerusi Op Kontraban Mega di 11 negeri pada Selasa dan Rabu lepas.
Menurut Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh, ia termasuk lebih 4.1 juta batang rokok pelbagai jenama bernilai RM7.7 juta serta 103,407 liter minuman keras dengan anggaran nilai RM4.5 juta.
Turut dirampas ialah minyak masak, kenderaan, mercun serta telefon bimbit dengan nilai keseluruhan berjumlah RM841,329.
Hasil pemeriksaan ke atas 272 premis, sebanyak 174 daripadanya dikesan melakukan pelbagai kesalahan.
Operasi selama dua hari itu turut menyaksikan seramai 195 individu berusia 18 hingga 72 tahun ditahan, termasuk penjaga premis.
Daripada jumlah itu, 127 orang ialah warga tempatan manakala selebihnya warga asing dari Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Sri Lanka, India dan Filipina.
"Seramai 140 individu direman selama tujuh hari hingga 1 September manakala 38 lagi direman atas kesalahan imigresen. Sejumlah 17 individu dibebaskan dengan jaminan polis," kata Datuk Fisol kepada pemberita, hari ini.
Sebanyak 13 kesalahan dikenal pasti membabitkan pelbagai akta antaranya Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta Akta Bahan Letupan 1957.
Tambah beliau, terdapat premis yang dikesan melakukan kesalahan berulang dan operasi akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membanteras aktiviti penyeludupan.
Sejak 1 Januari hingga semalam, sebanyak 86.7 juta batang rokok dan 973,558 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM232.5 juta berjaya dirampas, dengan 648 individu ditahan.