KAJANG, 31 Ogos – Sindiket dikenali sebagai Takor yang menyasarkan warga Indonesia tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen sah di Lembah Klang berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen (JIM).
Modus operandi sindiket itu dipercayai menggunakan helah sebagai pemandu e-hailing bagi mengaburi pihak berkuasa ketika menyeludup keluar warga asing terbabit sejak dua bulan lalu, dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,000 seorang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kegiatan sindiket berkenaan terbongkar selepas pihaknya melaksanakan operasi khas di dua lokasi di sini kira-kira jam 3.45 petang, Jumaat lalu.
Menurutnya, dalam operasi itu, JIM menahan sepasang suami isteri warga tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’ serta tiga lelaki warga Indonesia dipercayai ‘penjaga premis’.
“Turut ditahan dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia, menjadikan keseluruhan sembilan individu berusia 26 hingga 60 tahun ditahan.
“Semakan awal mendapati dua lelaki warga Indonesia tinggal lebih masa, manakala tiga lelaki dan dua wanita warga Indonesia lain tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
“Pasukan operasi turut menyita empat pasport Indonesia, tujuh telefon bimbit, wang tunai RM1,455 serta sebuah kenderaan Perodua Alza yang dipercayai digunakan sindiket ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi itu dijalankan oleh pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta AMLA, Ibu Pejabat JIM Putrajaya.
Datuk Zakaria berkata, sindiket berkenaan menjadikan warga Indonesia yang tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah sebagai sasaran.
“Sindiket ini menggunakan helah sebagai pemandu e-hailing bagi mengaburi pihak berkuasa, dengan caj bayaran antara RM1,500 hingga RM2,000 setiap seorang, dan dipercayai aktif sejak dua bulan lalu.
“Tujuh warga Indonesia termasuk dua wanita bersama seorang lelaki serta seorang wanita warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
"Seorang wanita tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.