KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Polis menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya seorang wanita berbangsa Cina ditahan dalam insiden kekecohan ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak, hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan polis mengesahkan individu yang ditahan ialah seorang wanita tempatan berbangsa Melayu berusia 41 tahun. Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan berita yang tidak sahih dan sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat yang tepat.
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, wanita berkenaan yang mempunyai rekod rawatan psikiatri ditahan pengawal keselamatan selepas bertindak masuk melalui tepi pentas ketika lagu kebesaran negeri Perak dimainkan.
"Siasatan awal juga mendapati wanita berusia 41 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, namun ujian air kencing hari ini mendapati suspek negatif dadah.
Suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri dan kini masih di bawah pemantauan pakar," jelasnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.