fb fb fb fb fb

Tiga lelaki ditahan, disyaki terlibat pencurian kabel sekitar labuan

Beberapa peralatan dirampas, disyaki digunakan untuk memotong kabel

LABUAN, 27 Julai- Polis Labuan menahan tiga lelaki tempatan susulan terlibat kes khianat dengan membinasakan kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM).

Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Mohd Hamizi Halim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan polis pada 24 Julai lalu berkaitan kehilangan dan kerosakan kabel di kawasan Kampung Bukit Kalam dan Kampung Rancha-Rancha.

"Pada 25 Julai, Bahagian Siasatan Jenayah telah menjalankan Ops Lusuh dan berjaya menahan suspek berkenaan berumur lingkungan 35 hingga 42 tahun.

"Sebuah kenderaan turut dirampas dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk memotong kabel," katanya.

Suspek tersebut mendapat perintah tahanan reman empat hari bermula semalam di Mahkamah Majistret Labuan bagi menjalankan siasatan lanjut.

Menurut Mohd Hamizi, dua daripada tiga suspek yang ditangkap didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Selain itu semakan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 379/414 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI