KUALA LUMPUR, 26 Julai - Tiga premis peralatan komunikasi di sekitar Jalan Pasar Pudu, di sini diserbu dengan 138 alat walkie-talkie bernilai lebih RM20,000 dirampas.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, hasil pemeriksaan yang dilakukan 10 pegawai itu mendapati kelengkapan komunikasi yang dijual itu tidak diperakui.
"Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui adalah satu kesalahan mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000," kata MCMC menerusi kenyataan.
Kesalahan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tambah MCMC, penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan yang diterima daripada penyedia perkhidmatan komunikasi selain menyebabkan gangguan frekuensi kepada rangkaian perkhidmatan.
"Orang ramai dinasihat menggunakan aplikasi MCMC Check Your Label untuk menyemak status pemerakuan setiap kelengkapan komunikasi sebelum membelinya," kata MCMC.