fb fb fb fb fb

Tiga lelaki ditahan disyaki curi kabel

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Polis mengesahkan penahanan tiga lelaki disyaki mencuri kabel selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka merempuh beberapa kenderaan ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Aidil Bolhassan menerusi satu kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga suspek berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditahan di Jalan Cheras pada pukul 2.45 petang.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemukan empat guni berisi kabel tembaga,” katanya.

Kesemua suspek direman sehingga Rabu untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Aidil berkata, pemilik kenderaan yang dirempuh turut membuat laporan polis dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE