KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Polis mengesahkan penahanan dua lelaki berusia 37 dan 43 tahun kerana disyaki menyebarkan ciapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah melalui platform media sosial X.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, ciapan terbabit tular pada 24 Ogos lalu melalui akaun @ChongKahtze dan @iFactoReal. Ciapan pertama mendakwa Malaysia bakal diambil alih kumpulan ekstremis dan memberi bayangan revolusi, manakala ciapan kedua mengandungi ugutan berkaitan serangan Israel terhadap kediaman rasmi Perdana Menteri.
“PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang membuat atau menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah, atau kandungan yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara,” tegas beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Suspek pertama direman dua hari, manakala suspek kedua direman empat hari sehingga 28 Ogos.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak menyebarkan maklumat palsu atau provokatif.