KOTA BHARU, 25 Ogos – Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian dengan kesan luka pada leher ditemui terapung di tebing Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosli Daud, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada pukul 6.30 petang.
Pihak polis bersama pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan menjalankan siasatan di lokasi kejadian namun tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa.
“Mayat ditemui dalam keadaan membengkak dengan berpakaian t-shirt berkolar warna ungu, berseluar pendek khakis coklat serta memakai tali pinggang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat berkenaan kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat, dan hasil pemeriksaan mendapati punca kematian adalah akibat kesan luka hirisan pada leher.
ACP Mohd Rosli berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan pihak polis sedang menunggu laporan cap jari serta DNA.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Norismalina Ahmad di talian 012-7941447 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan masih dijalankan.