JOHOR BAHRU, 25 Ogos – Seorang pengurus stesen minyak di Johor Bahru kerugian RM91,167 selepas menjadi mangsa penipuan berkaitan urusan kerja sambilan yang tidak wujud, hujung Julai lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat, mangsa, lelaki tempatan berusia 38 tahun, mula berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Tinder sebelum ditawarkan pekerjaan sambilan melalui laman web Inventorysources.site.
“Mangsa didapati telah membuat beberapa pemindahan wang ke pelbagai akaun atas nama individu dan syarikat antara 25 hingga 29 Julai. Selepas pembayaran dibuat, akaun mangsa dimaklumkan kononnya telah dibekukan dan suspek gagal dihubungi,” kata ACP Raub.
Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 24 Ogos. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk semakan akaun bank yang terlibat, rakaman keterangan pihak bank, serta mengesan dan menahan suspek yang terlibat.
ACP Raub menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja sambilan yang memerlukan bayaran awal. Semakan boleh dilakukan melalui portal SEMAKMULE Polis Diraja Malaysia bagi mengesahkan sebarang akaun atau nombor telefon sebelum membuat sebarang urusan kewangan.
Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat, dan orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan bagi membantu siasatan.