fb fb fb fb fb

Bedah siasat semula pelatih Palapes UTM ditentukan Selasa

Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Mahkamah Tinggi menetapkan Selasa ini untuk memutuskan sama ada kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, boleh digali semula bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan.

Tarikh itu diputuskan oleh Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet, selepas meneliti hujahan yang dikemukakan peguam Datuk Naran Singh mewakili ibu arwah, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon.

Prosiding berkenaan susulan siasatan sebelum ini yang mendapati tiada unsur penderaan berlaku sepanjang latihan Palapes. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan keterangan jurulatih dan pegawai menunjukkan latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos lalu dijalankan mengikut prosedur ditetapkan.

Allahyarham Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor.

Bagaimanapun, ibu arwah yang hadir ke mahkamah melahirkan kekecewaan terhadap bantahan berulang kali pihak berkuasa. Selain menuntut bedah siasat semula, keluarga juga meminta siasatan dikendalikan pasukan baharu dari Bukit Aman atas alasan pasukan sedia ada gagal menjalankan tugas secara telus.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE