fb fb fb fb fb

JKDM Kelantan rampas 173.3 tan beras seludup bernilai lebih RM2 juta

Sindiket guna treler bawa masuk bekalan beras seludup / Foto

PASIR MAS, 25 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 173.3 tan metrik beras seludup dari negara jiran dengan nilai keseluruhan melebihi RM2 juta, termasuk cukai dan kenderaan yang dirampas.

Pengarah Kastam Negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata rampasan itu hasil operasi di lima lokasi sekitar Tanah Merah dan Pasir Mas antara 15 Julai hingga 15 Ogos lalu.

Dalam operasi tersebut, enam lelaki tempatan yang bertindak sebagai pemandu dan kelindan treler turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Hasil serbuan, kita menemui 3,467 guni beras dengan jumlah berat keseluruhan 173.3 tan metrik. Selain itu, kenderaan yang digunakan turut disita dengan nilai hampir RM1.4 juta, menjadikan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM2 juta,” katanya pada sidang media di Rantau Panjang, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan dipercayai menggunakan treler untuk membawa masuk bekalan beras seludup yang disasarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang dan utara Semenanjung.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

HASRON BIN HASSAN