fb fb fb fb fb

AKPS gagalkan percubaan gunakan pas palsu di pintu keluar KLIA

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) gagalkan percubaan gunakan pas palsu di pintu keluar KLIA / Foto Hiasan / Bernama

SEPANG, 24 Ogos – Seorang wanita warga India berusia 45 tahun ditahan di Balai Perlepasan, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dikesan cuba memperdaya pihak berkuasa menggunakan pas khas palsu untuk berlepas ke India.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataannya memaklumkan, pemeriksaan lanjut mendapati dokumen yang dikemukakan wanita terbabit tidak munasabah dan disahkan palsu, sebelum cubaan itu digagalkan serta-merta oleh pegawai bertugas.

Wanita berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63, dan kini ditempatkan di Depot Imigresen KLIA untuk tindakan susulan.

“Sebarang cubaan menggunakan dokumen palsu tidak akan dikompromi dan akan dikenakan tindakan undang-undang paling tegas,” tegas AKPS.

Agensi itu turut menegaskan komitmennya memastikan integriti sempadan negara tidak digugat dan keselamatan pintu masuk Malaysia sentiasa berada pada tahap tertinggi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN