KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Polis telah merakamkan keterangan tiga individu termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Kota Damansara, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata, mereka ialah bapa dan ibu saudara mangsa serta rakan kepada ibu mangsa, manakala keterangan ibu kanak-kanak itu masih belum diambil kerana berada di Perak menguruskan pengebumian anaknya.
Beliau berkata, tiga lagi saksi iaitu jiran yang berada di lokasi ketika kejadian turut akan dipanggil untuk direkodkan keterangan.
“Pegawai penyiasat masih dalam tindakan melengkapkan siasatan. Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas semua keterangan direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.42 petang, mangsa ditemukan orang awam di laluan pejalan kaki selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas pangsapuri berkenaan.