PASIR MAS, 17 Ogos – Tiga lelaki tempatan ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan ketum di sebuah rumah di Kampung Kubang Bakong, di sini malam tadi.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan 10.30 malam itu dijalankan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
“Hasil pemeriksaan menemui satu kilogram daun ketum, tujuh botol berisi air ketum dianggarkan 10.5 liter serta dua botol ubat batuk di dalam rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.