RANTAU PANJANG, 18 Ogos - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 menggagalkan cubaan menyeludup barang kawalan bersubsidi ke Thailand selepas menahan seorang lelaki tempatan di pengkalan haram Tok Awang Belulang, di sini, pagi Ahad.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditahan pada pukul 9.30 pagi ketika anggota pasukan menjalankan rondaan Op Taring Wawasan Kelantan.
“Suspek dilihat sedang memindahkan bungkusan dari tebing sungai ke dalam perahu sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemui 24 kilogram gula pasir dan 17 kilogram minyak masak dengan nilai anggaran RM110.90 yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, semua barang rampasan itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1967.