KUCHING, 18 Ogos - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas kayu balak, minyak diesel, makanan sejuk beku, bawang dan barangan kawalan lain bernilai RM4.85 juta dalam 10 operasi khas antara 4 hingga 16 Ogos lalu.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai berkata, rampasan terbesar membabitkan 100 batang kayu balak, sebuah jengkaut dan mesin pemotong kayu di Sibu pada 11 Ogos lalu dengan nilai anggaran RM1.6 juta.
“Dalam operasi itu seorang lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 94 Ordinan Perhutanan Sarawak 2015 dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi pada 4 Ogos di Sibu turut membawa kepada rampasan 46,000 liter minyak diesel bersama beberapa peralatan penyedut minyak serta tiga kenderaan dengan nilai keseluruhan RM1.26 juta.
Pada 16 Ogos pula, pasukan Batalion 12 PGA Miri menahan seorang lelaki tempatan di Sungai Kemena, Bintulu dan merampas 5,000 liter diesel serta sebuah kapal pukat tunda bernilai RM512,950.
Operasi lain yang dijalankan di Tebedu, Biawak, Serian, Bau, Sri Aman dan Lundu pula menyaksikan rampasan 1,416 guni bawang besar bernilai RM322,300.00
Antara yang dirampas 202 kotak dan 50 kotak makanan sejuk beku bernilai RM371,600 dan RM140,000; 3,500 kilogram beras bernilai RM183,000; serta 30 tong gas petroleum bernilai RM135,400.
“Dalam operasi di Lundu pada 13 Ogos, dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen sah turut ditahan selain rampasan wang tunai RM3,050, telefon bimbit serta sebuah kenderaan dengan nilai keseluruhan RM101,050,” katanya.
Lim berkata, semua kes diserahkan kepada jabatan serta agensi berkaitan termasuk Jabatan Hutan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar dan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang.
Beliau menambah, secara keseluruhan Briged Sarawak PGA mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM306.6 juta sejak Januari hingga 17 Ogos tahun ini.
"Ia melibatkan 316 kes dengan 415 tangkapan serta 238 kenderaan dirampas," katanya.
Ringkasan rampasan 10 operasi melibatkan :
- Kayu balak (Sibu, 11 Ogos) – RM1,604,000
- Minyak diesel 46,000 liter (Sibu, 4 Ogos) – RM1,268,480
- Minyak diesel 5,000 liter + kapal (Bintulu, 16 Ogos) – RM512,950
- Makanan sejuk beku 202 kotak (Tebedu, 4 Ogos) – RM371,600
- Bawang besar 1,416 guni (Biawak, 13 Ogos) – RM322,300
- Ayam sejuk beku (Serian, 11 Ogos) – RM223,320
- Beras 3,500 kg (Bau, 9 Ogos) – RM183,000
- Makanan sejuk beku 50 kotak (Tebedu, 4 Ogos) – RM140,000
- Gas petroleum 30 tong (Sri Aman, 4 Ogos) – RM135,400
- PATI + wang tunai/telefon/kenderaan (Lundu, 13 Ogos) – RM101,050