fb fb fb fb fb

Tiga lelaki dipenjara 12 bulan kerana khianat simbah cat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Mei - Tiga lelaki dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat pada bahagian luar sebuah rumah milik individu, dua bulan lalu.

Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap juruteknik Chin Zi Ping, pengurus syarikat Tieu Boon Chow, dan juruteknik penyaman udara Ooi Hong Leong.

Hukuman penjara mereka bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 16 April lalu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Angkasa Batu 6, pada pukul 4.50 pagi, 29 Mac lalu.

Tindakan mereka menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM10,000 termasuk kerosakan pada sebuah kereta dan motosikal.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad memohon supaya ketiga-tiga tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira nilai kerugian yang ditanggung mangsa.

Sementara itu, Peguam Nurul Diyana Basher daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman penjara bagi tempoh yang singkat.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI