fb fb fb fb fb

OP Bersasar: JIM Melaka tahan tujuh warga asing

Foto RTM

MELAKA, 28 Mei - Tidak memiliki dokumen sah dan melanggar syarat pas kerja antara kesalahan yang dikesan Jabatan Imigresen (JIM) Melaka dalam dua serbuan berasingan di premis kilang sekitar Sungai Rambai, Jasin dan Ayer Keroh.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, daripada 110 warga asing yang diperiksa, tujuh pendatang tanpa izin ditahan dalam Operasi Bersasar, hari ini.

Mereka terdiri daripada tiga warga China, tiga warga Bangladesh dan seorang warga Nepal.

Kesemua mereka ditahan kerana melanggar peruntukan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mereka dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, operasi turut bertujuan menggalakkan penyertaan secara sukarela dalam Program Repatriasi Migran (PRM) yang dilaksanakan oleh kerajaan.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI