fb fb fb fb fb

30 individu ditahan dalam serbuan pusat perjudian dalam talian

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Seramai 30 individu termasuk seorang warga asing ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Tun Razak, disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, serbuan pada pukul 11.30 pagi itu dijalankan menerusi Op Dadu oleh sepasukan anggota Bahagian Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bersama Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Kesemua suspek terdiri daripada 23 lelaki dan enam wanita tempatan, serta seorang lelaki warga China. Mereka berusia antara 20 hingga 27 tahun dan dipercayai berperanan sebagai pekerja di pusat panggilan perjudian berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dirampas dalam operasi itu ialah 30 set komputer, 60 unit telefon bimbit, sekeping kad akses, dua unit router dan satu peranti jalur lebar mesh.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mempromosikan kegiatan tersebut kepada warga China dan dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu.

Sindiket tersebut dipercayai didalangi seorang lelaki warga China yang masih bebas.

Kesemua yang ditahan telah dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk proses dokumentasi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI