KUALA NERUS, 28 Mei - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu telah menahan seramai 603 pendatang tanpa izin dalam 260 operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak 1 Januari hingga hari ini.
Ia hasil pemeriksaan terhadap 3,381 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurut Pengarah JIM Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor, 24 majikan turut dikenakan tindakan termasuk kompaun, denda, dan pendakwaan di mahkamah kerana melindungi serta menggaji warga asing tanpa kebenaran.
Jelas beliau, sebahagian besar warga asing yang ditahan adalah warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.
Beliau mengingatkan para majikan supaya mematuhi undang-undang dan hanya menggaji pekerja yang mempunyai dokumen sah.
Beliau juga menggesa majikan yang mempunyai masalah berkaitan pekerja asing supaya menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Tahun ini, kami berhasrat untuk menumpukan penguatkuasaan terhadap majikan. Berdasarkan statistik tahun lalu, sebanyak 26 majikan dikompaun berjumlah RM270,000. Manakala setakat Mei tahun ini, enam majikan telah dikenakan kompaun berjumlah RM60,000. Kami juga telah mendakwa beberapa majikan di mahkamah atas kesalahan melindungi atau menggaji pekerja tanpa izin,” ujarnya selepas melakukan operasi di tiga buah kilang sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Dalam operasi tersebut, 593 pekerja diperiksa, terdiri daripada 381 warganegara dan 212 bukan warganegara.
Hasil pemeriksaan, tujuh pekerja warga Nepal berusia antara 24 hingga 37 tahun ditahan kerana melanggar syarat pas bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Satu notis turut dikeluarkan kepada majikan terbabit untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi memberi keterangan lanjut.