fb fb fb fb fb

Tiga ditahan, 700 saman dikeluarkan dalam Op Khas kenderaan perdagangan

Foto- RTM

MELAKA, 29 Mei - Polis Melaka menahan tiga individu dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan selama dua minggu bermula 14 hingga 27 Mei lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, tangkapan melibatkan dua pemandu lori dan seorang remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya.

Menurut beliau, kedua-dua pemandu lori masing-masing berusia 47 dan 41 tahun, didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dan disyaki memasukkan dadah ke dalam badan.

Mereka disiasat bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 47 Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987

Manakala pelajar berusia 13 tahun itu disiasat bawah Seksyen 42 APJ.

Sepanjang operasi itu, polis turut mengeluarkan 700 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Daripada jumlah itu, 200 saman membabitkan pemandu lori.

Lebih 1,000 kenderaan perdagangan telah diperiksa sepanjang operasi tersebut.

Sebanyak 18 lori turut ditimbang, dan empat daripadanya disita kerana membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.

Polis Melaka komited melaksanakan operasi berkala melibatkan pelbagai kesalahan trafik demi keselamatan pengguna jalan raya.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN