fb fb fb fb fb

Lima warga Indonesia didakwa kes bunuh bermotif dendam

Foto-RTM

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Lima lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki senegara mereka dalam kejadian di Shah Alam pada Jun 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kelima-lima suspek merupakan suku Madura dan dikenal pasti berdasarkan pengakuan lisan masing-masing sebagai Moslem, Ahmad Wildy, Muzammil, Jeilani dan Mail.

Kes dipercayai bermotifkan balas dendam susulan insiden pembunuhan bapa kepada salah seorang suspek, Ahmad Wildy, oleh mangsa sebelum ini.

Kesemua suspek dibawa masuk ke mahkamah sekitar pukul 9.00 pagi melalui Lobi Utama Mahkamah Kuala Lumpur dengan kawalan ketat oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sentul.

Semakan pihak berkuasa mendapati kesemua tertuduh tidak memiliki dokumen pengenalan diri atau pasport sah.

Menurut polis, pertuduhan berkait laporan polis Jinjang Rpt: 7774/25 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pegawai Penyiasat, ASP Victor Ananth A/L Paramananth dari IPD Sentul mengesahkan siasatan lanjut masih diteruskan.

Mahkamah Majistret tidak membenarkan sebarang ikat jamin dan menetapkan 26 Ogos 2025 untuk sebutan semula kes

Polis turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat spekulasi demi menjaga kelancaran proses siasatan dan pendakwaan.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN