fb fb fb fb fb

Op Mahir: 26 PATI ditahan, tiga kilang diserbu

26 PATI ditahan, tiga kilang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Op Mahir di ibu negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Tiga buah kilang di sekitar Jalan Kuchai Lama dan Jalan Chan Sow Lin di ibu negara diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Op Mahir selepas disyaki menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Operasi bersepadu itu diketuai oleh Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff melibatkan pemeriksaan ke atas 352 individu, termasuk 283 lelaki dan 69 wanita di tiga premis kilang.

Hasil serbuan mendapati seramai 26 PATI yang terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal, India, Myanmar dan Nigeria berusia antara 28 hingga 50 tahun telah ditahan kerana bekerja secara haram di negara ini.

Menurut JIM, serbuan dijalankan ke atas dua buah kilang memproses barang lusuh dan pengurusan sisa serta sebuah kilang percetakan.

Sebahagian warga asing cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas pihak penguat kuasa.

Dalam operasi sama, dua lelaki tempatan yang merupakan majikan turut ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1963 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah.

JIM turut mengeluarkan empat borang Imigresen 29 bagi memanggil saksi bagi siasatan lanjut.

Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN