KOTA BHARU, 20 Julai -Tiga lelaki termasuk dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) didenda masing-masing RM3,000 dan RM4,000, di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas kesalahan memiliki gambar video lucah jantina sejenis dalam serbuan di sebuah rumah di Kemumin Kota Bharu, 18 Jun lalu.
Kesemua tertuduh Mohd Hanafi Ibrahim, 47 tahun, Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil, 22 tahun dan Mohamad Syahmi Firas Mohd Jurij, 27 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbit masing-masing dan perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kemumin, Kampung Pulau Belacan, Panchor Kota Bharu, kira-kira pukul 1.15 pagi pada 18 Jun lalu.
Kesemua tertuduh didakwa bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah dan Nur Haziqah Hassan, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Samantha Chong Yin Xin.
Pada prosiding tersebut, Muhamamd Nadzir dan Nur Haziqah memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat awam memandangkan tindakan itu tidak bermoral dan bertentangan dengan norma awam.
Namun, Samantha memohon anak guamnya dikenakan denda paling minimum kerana kesemua mereka sudah insaf dan berjanji akan berubah.
Mahkamah kemudiannya memutuskan denda sebanyak RM3,000 kepada Mohd Hanafi manakala Muhammad Al Azamuddin dan Mohamad Syahmi Firas dikenakan denda masing-masing RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.
Media sebelum ini melaporkan, polis menyerbu sebuah banglo di Jalan Kemumin yang menganjurkan majlis perjumpaan komuniti perjumpaan makan-makan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dipercayai disertai hampir 100 lelaki.
Serbuan yang dilakukan hasil risikan dan maklumat awam pukul 1.00 pagi pada pertengahan bulan lalu itu menahan 20 lelaki selain merampas ratusan kondom dan ubat HIV.