SUNGAI PETANI, 20 Julai – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sungai Petani hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan senjata api dan dadah.
Tertuduh, Dharshiniy Pathmanathan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.
Bagi tuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, dia bersama suami yang telah meninggal dunia, didakwa memiliki sepucuk pistol tanpa lesen pada 6 Julai lalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sekurang-kurangnya enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa mengedar 236.4 gram dadah jenis heroin di sebuah rumah di Residensi Utama, Sungai Petani, pada jam 12.40 tengah malam tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Pertuduhan ketiga pula membabitkan pemilikan 45 butir peluru tanpa lesen yang turut berlaku di lokasi dan tarikh sama, disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Tertuduh berdepan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan bagi dua pertuduhan pertama, manakala jaminan RM4,000 ditawarkan bagi pertuduhan ketiga.
Tertuduh diwakili peguam Daniel Savarimuthu dan sebutan semula kes ditetapkan pada 21 September bagi mendapatkan laporan kimia.
Suami tertuduh merupakan suspek utama yang ditembak mati polis dalam kejadian berbalas tembak di Bandar Puteri Jaya, 5 Julai lalu.
Dia juga dipercayai ada kaitan dengan dua lagi suspek yang maut dalam insiden tembakan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Jitra, Kedah pada hari yang sama.