fb fb fb fb fb

Halang penjawat awam: Warga Pakistan ditahan, pandu bawah pengaruh alkohol

Seorang lelaki warga Pakistan ditahan polis selepas disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta memandu bawah pengaruh alkohol

JOHOR BAHRU, 20 Julai – Seorang lelaki warga Pakistan berusia 45 tahun ditahan polis selepas disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta memandu bawah pengaruh alkohol dalam satu insiden yang berlaku di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raub Selamat berkata suspek ditahan sekitar pukul 6.30 petang selepas kenderaan yang dipandunya melanggar beberapa buah motosikal dan sebuah kereta di hadapan sebuah restoran.

“Orang awam yang berada di lokasi kejadian telah cuba menghentikan kenderaan tersebut, namun suspek bertindak melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Raub, suspek berjaya diberkas pihak polis di Lebuhraya Pasir Gudang, walaupun cuba meloloskan diri dengan terjun dari tembok setinggi dua meter.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, selain disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN