fb fb fb fb fb

100,000 batang rokok seludup dirampas

Rokok putih ditemui dalam sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan/Foto PGA

TUMPAT, 20 Julai - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 100,000 batang rokok putih disyaki seludup dianggarkan bernilai RM222,000 termasuk kenderaan dalam satu serbuan di Kampung Bunut Sarang Burung di sini, pada Jumaat lalu.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan menerusi Op Taring Wawasan itu dijalankan pukul 6 pagi selepas pasukan menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menemui 100,000 batang rokok putih disimpan di dalam kenderaan yang ditinggalkan suspek di tepi jalan selepas melarikan diri. Rokok-rokok ini dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, semua rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN