fb fb fb fb fb

PGA rampas 334 kilogram beras putih di Rantau Panjang

Polis menemui puluhan kampit beras diseludup masuk dari negara jiran/Foto Facebook PGA

RANTAU PANJANG, 20 Julai - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 334 kilogram beras putih pelbagai jenama disyaki seludup dari Thailand dianggarkan bernilai RM1,376 dalam satu serbuan di Pengkalan Haram Billah Dolah di sini, pada Jumaat lalu.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan dijalankan pukul 10 pagi selepas anggotanya melihat beberapa lelaki sedang memindahkan guni beras dari perahu ke tebing sungai.

“Semua suspek melarikan diri menaiki perahu ke Thailand selepas menyedari kehadiran anggota polis.

"Pemeriksaan lanjut menemui 334 kilogram beras putih pelbagai jenama dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN