fb fb fb fb fb

PGA tumpas cubaan seludup 510 liter diesel ke Thailand

Beberapa tong minyak bersubsidi dirampas dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Taring Wawasan di Tumpat, semalam/Foto PGA Kelantan

TUMPAT, 20 Julai - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 510 liter minyak petrol dan diesel bersubsidi dianggarkan bernilai keseluruhan RM11,035.60 dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Taring Wawasan di sekitar daerah ini, semalam.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pertama dilakukan di Pengkalan Haram Pok Kob pukul 9 pagi selepas pasukannya menemui beberapa tong minyak di tebing sungai ketika rondaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tong minyak itu mengandungi 90 liter petrol dan 120 liter diesel dengan anggaran nilai RM420.60 yang dipercayai untuk diseludup masuk ke Thailand,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Katanya, hasil rampasan pertama itu telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Nik Ros Azhan berkata, serbuan kedua pada 11.15 pagi di Kampung Tualang selepas menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 10 tong jerikin mengandungi kira-kira 300 liter minyak petrol di dalam kenderaan itu.

"Minyak berkenaan dipercayai untuk diseludup ke Thailand. Anggaran nilai rampasan keseluruhan termasuk kenderaan berjumlah RM10,615,” katanya.

Tambahnya, rampasan kedua diserahkan kepada KPDN Kota Bharu untuk tindakan lanjut dan kes turut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

GRACE AISYAH KEDAYAN