fb fb fb fb fb

Tiga lagi ditahan, kes skim pelaburan MBI ala Ponzi

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali bercakap dalam sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di ibu negara

KUALA LUMPUR, 30 Mei - Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bersama dua individu lain telah ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pemaju hartanah terkemuka.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, penahanan itu bagi membantu siasatan polis berhubung kes penipuan Skim Pelaburan MBI ala Ponzi bawah Op Northern Star.

Susulan tangkapan itu, polis membeku dan menyita pelbagai aset mewah yang dipercayai hasil perolehan haram, skim pelaburan berkenaan.

Katanya, jumlah penyitaan dan pembekuan dianggarkan bernilai RM527 juta dan menjadikan jumlah keseluruhan aset yang telah dibekukan dan disita bawah Op Northern Star mencecah hampir RM3.82 bilion.

"Nilai ini dijangka akan terus meningkat sekiranya kita mendapat kerjasama daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk menyalurkan maklumat berkenaan hartanah yang masih belum dikenal pasti, kerana kita percaya jumlahnya masih banyak," katanya dalam sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di ibu negara.

Penahanan kesemua suspek dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dalam tempoh 1 hingga 17 Mei.

TETITIA YUSOFF