KUALA LUMPUR, 30 Mei – Dua sindiket penipuan panggilan antarabangsa yang menyasarkan warga Jepun berjaya ditumpaskan dalam dua serbuan serentak di Kajang dan Cheras pada 13 Mei lalu.
Sindiket itu menyamar sebagai pegawai polis Jepun bagi memperdaya mangsa menyerahkan maklumat peribadi dan seterusnya memindahkan wang ke akaun mereka.
Serbuan tersebut membawa kepada penahanan 19 individu yang terdiri daripada warga Jepun, China dan Taiwan.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata sindiket menggunakan aplikasi Briar Mobile yang membolehkan mereka meniru nombor telefon rasmi polis Osaka untuk memperdaya mangsa.
Beliau menjelaskan teknik tersebut dikenali sebagai caller ID spoofing, yang memudahkan sindiket mendapatkan kepercayaan mangsa.
Setakat ini, dua warga China telah didakwa di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 pada 22 Mei.
Selain itu, tiga warga Taiwan pula didakwa di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Kes disiasat di bawah Akta Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen.