fb fb fb fb fb

Sindiket Taiwan tumpas: RM3.29 juta dadah cecair vape dirampas

Dua suspek warga Taiwan direman tujuh hari hingga 4 Jun ini bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Sebanyak 88.2 liter cecair vape disyaki mengandungi dadah sintetik jenis amphetamine bernilai RM3.29 juta berjaya dirampas polis dalam serbuan ke atas makmal haram di sebuah kondominium mewah di Brickfields, pada malam 28 Mei lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, serbuan kira-kira pukul 10.30 malam itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki warga Taiwan berusia 30 dan 35 tahun yang disyaki ahli kimia serta penjaga stor sindiket.

“Pemeriksaan menemui 20 bekas plastik dan enam botol mengandungi cecair vape dadah seberat lebih 103 kilogram bersama pelbagai peralatan pemprosesan dadah,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, sindiket menyewa unit kondominium itu dengan kadar sewa RM4,100 sebulan dan sering berpindah lokasi serta menukar pekerja upahan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati setiap cartridge dadah itu dijual pada harga sekitar RM180 di pasaran tempatan, manakala boleh mencecah RM400 di luar negara. Dadah yang dirampas berupaya menjejaskan kesihatan lebih 441,000 pengguna, khususnya remaja,” katanya.

 

Tambah beliau, penggunaan bahan itu boleh mengakibatkan sawan, kerosakan hati, gangguan emosi, psikosis dan dalam kes tertentu, kematian mengejut akibat serangan jantung atau kegagalan pernafasan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga 4 Jun ini bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan jika sabit kesalahan.

“Semakan juga mendapati mereka memiliki rekod jenayah berat di Taiwan termasuk kes bunuh dan pengedaran dadah,” katanya.

JSJN turut menyita sebuah motosikal jenis Honda bernilai RM7,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Kami kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Taiwan termasuk Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB) dan Criminal Investigation Bureau (CIB) untuk menjejak baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas,” katanya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui hotline JSJN di 012-208 7222.

GRACE AISYAH KEDAYAN