fb fb fb fb fb

Tiga individu termasuk warga Indonesia didakwa edar dadah lebih 80kg

Foto hiasan/ RTM

KOTA TINGGI, 12 September – Seorang lelaki bersama dua wanita, termasuk seorang warga Indonesia, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat lebih 80 kilogram pada 2 September lalu.

Tertuduh, Muhammad Fairul Jaffar, 43, Elika Safitri, 33, dan Nursahkila Yusof, 39, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Haydar Faridzal Abu Hasan.

Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa mengedar Methamphetamine dengan berat kasar 80.33 kilogram di Taman Sri Penawar, Kota Tinggi, pada tarikh berkenaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan. Ia turut dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding sama, Muhammad Fairul turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berasingan iaitu memasukkan dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi pada 18 September 2023.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) Akta sama.

Mahkamah menetapkan 13 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia, selain menolak permohonan jaminan terhadap semua tertuduh.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD