fb fb fb fb fb

Terpedaya 'phone scam', pesara wanita rugi RM334,964

Foto hiasan

MIRI, 12 September – Seorang wanita tempatan berusia 64 tahun yang juga pesara swasta di Miri kerugian lebih RM334,000 selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian (phone scam) baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan media, Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa menerima panggilan individu yang menyamar sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sebelum disambungkan kepada kononnya pegawai polis di IPD Perlis.

Mangsa kemudiannya diminta untuk memindahkan semua wang simpanan ke akaun suspek bagi tujuan siasatan dan jaminan.

"Mangsa akur dan membuat beberapa transaksi di kaunter bank berjumlah RM334,964.90, yang juga merupakan hasil simpanan serta pinjaman daripada ahli keluarga.

"Beliau bagaimanapun hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan sebelum tampil membuat laporan polis pada 11 September lalu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda.

ACP Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik, tidak mendedahkan maklumat peribadi melalui telefon serta menghubungi NSRC di talian 997 jika menjadi mangsa penipuan.

Semakan nombor telefon dan akaun bank boleh dibuat di http://semakmule.rmp.gov.my, manakala info modus operandi sindiket boleh dirujuk di Facebook JSJK, Cyber Crime Alert RMP dan JSJK Sarawak.

Trainee