KOTA TINGGI, 12 September - Seorang penolong pengurus dipenjara lima tahun, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, atas pertuduhan melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak lelaki berusia 16 tahun, pada 6 September lalu.
Tertuduh, Zulhilmi Zailani , 40 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Haydar Faridzal Abu Hasan.
Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Bukit Besar, Kota Tinggi, pada pukul 2.00 pagi, 6 September lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada Isnin lalu tanpa dikenakan sebatan.
Tertuduh juga diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama dua tahun.