fb fb fb fb fb

Tiga individu ditahan kes hasutan, ugutan terhadap pemimpin negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 September- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu selepas dipercayai terlibat dalam penularan video serta kenyataan berunsur hasutan dan ugutan jenayah di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ketiga-tiga kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Bukit Aman susulan laporan polis yang diterima.

“Kes pertama pada 8 September melibatkan akaun Facebook ‘Jibbie Sahaq’ yang memuat naik komen berunsur hasutan sehingga boleh menggugat ketenteraman awam serta mengandungi ugutan jenayah terhadap pemimpin negara.

"Seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan kes di siasat di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 507 Kanun Keseksaaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia 69 tahun yang menyampaikan ucapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah dalam insiden di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, semalam.

"Suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Sementara kes ketiga melibatkan akaun Facebook “Ayien Rose” yang memuat naik komen berbentuk ugutan jenayah terhadap pemimpin negara.

Rentetan itu, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah atau sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan negara.

“Orang ramai dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab menggunakan media sosial serta menghormati undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello