KUALA LUMPUR 11 September - Dua laporan polis telah dibuat Angkatan Muda Keadilan (AMK) , berhubung video tular mengandungi ugutan bunuh dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan AMK Wilayah Persekutuan, Mohammad Rais Hamdan berkata, dua laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, kira-kira pukul 8.00 malam tadi.
"Kami baru sahaja selesai membuat laporan polis berkenaan tularnya satu video yang mengandungi ugutan bunuh terhadap pemimpin nombor satu negara Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kami di barisan anak muda menegaskan bahawa kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan ugutan bunuh seperti ini yang boleh menjejaskan keharmonian yang telah lama kita bina di negara ini", katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Penerangan AMK Selangor, Abdullah Zaid Abdullah Sani.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nuzulan Din, mengesahkan menerima laporan terbabit ketika dihubungi.
Siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
Terdahulu, satu klip video tular di TikTok memaparkan kata-kata seorang individu yang mengandungi ugutan kepada Perdana Menteri di Kampung Sungai Baru.
Menerusi video terbabit, individu itu mendakwa dia pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di atas tuduhan merancang untuk membunuh Perdana Menteri.