fb fb fb fb fb

Polis Selangor rampas syabu, ekstasi dan eramin 5 bernilai RM16.7 juta

Foto RTM

SHAH ALAM, 11 Sept– Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah melibatkan ekstasi, eramin 5 dan syabu bernilai RM16.7 juta dalam dua serbuan berasingan di Banting, KLIA2 dan sekitar ibu negara, minggu ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata operasi pada 9 dan 10 September itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dengan kerjasama IPD KLIA dan IPD Kuala Langat.

Dalam serbuan di Banting, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 42 dan 47 tahun yang menaiki sebuah kereta Mercedes E200.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas 30 bungkusan dadah dipercayai ekstasi seberat 61.7 kilogram dan tiga bungkusan eramin 5 seberat 9.8 kilogram di bahagian tempat duduk belakang kereta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek berusia 47 tahun bekerja dengan sebuah syarikat kontraktor binaan dan mempunyai 18 rekod jenayah serta narkotik, manakala seorang lagi suspek berusia 42 tahun yang menganggur mempunyai 22 rekod jenayah dan dadah.

Nilai rampasan dalam serbuan pertama itu dianggarkan RM13.6 juta, selain sitaan seutas rantai leher dan sebuah jam tangan.

Di KLIA2, seorang lelaki ditahan ketika menarik bagasi berisi lima bungkusan syabu seberat 4.5 kilogram.

“Susulan tangkapan itu, dua lagi lelaki ditahan di Kuala Lumpur keesokannya. Polis turut merampas 89 bungkusan plastik syabu seberat 86.7 kilogram dan satu tong cecair disyaki syabu seberat 5.8 kilogram,” katanya.

Nilai rampasan dalam kes itu dianggarkan RM3.1 juta. Semua suspek berusia antara 18 dan 24 tahun, tidak bekerja dan ujian air kencing mereka negatif dadah.

Secara keseluruhan, polis merampas dadah bernilai RM16.7 juta yang mampu menampung keperluan 337,500 pengguna, serta menyita harta bernilai RM40,500 termasuk sebuah kereta dan motosikal.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello