fb fb fb fb fb

Peniaga wanita rugi RM500,000 diperdaya sindiket ‘phone scam’

Seorang peniaga wanita berusia 61 tahun kerugian lebih RM500,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau 'phone scam' / Foto Hiasan

MIRI, 11 September – Seorang peniaga wanita berusia 61 tahun kerugian lebih RM500,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau 'phone scam'.

Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang menyamar sebagai wakil Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).

Suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan penipuan sebelum kononnya menyambungkan panggilan itu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Mangsa kemudian diminta membuat pengesahan harta dan diarahkan memindahkan semua wang simpanan ke dalam akaun bank yang ditetapkan.

Menurut beliau, mangsa membuat pindahan wang secara berperingkat melalui kaunter bank atas alasan kononnya bagi tujuan audit harta.

Namun, selepas suspek berulang kali meminta bayaran tambahan, mangsa mula menyedari dirinya ditipu.

“Jumlah wang yang dipindahkan merupakan hasil simpanan mangsa sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN