fb fb fb fb fb

Polis terima laporan tiga kematian mengejut di Kuching

Foto Fail

KUCHING, 11 September- Sebanyak tiga laporan kes mati mengejut diterima di Kuching, Sarawak pada semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, ia melibatkan seorang warga Indonesia dan dua warga tempatan berumur antara 30 hingga 70 tahun.

Kesemua mangsa lelaki, ditemui di tiga lokasi berbeza iaitu di kuaters pekerja di Padungan, Metrocity di Matang dan di Jalan Semerah Padi, Samariang antara pukul 1.30 tengah hari hingga pukul 11.00 malam.

"Dua mangsa masih ditemukan dalam keadaan sempurna dan dipercayai pengsan sebelum disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, satu lagi kes membabitkan mangsa yang didapati sudah meninggal dunia dalam tempoh masa yang lama dan mayat membusuk di sebuah bilik sewa di Metrocity," kata ACP Alexson ketika dihubungi pemberita RTM.

Bagaimanapun, semua kes tiada kaitan antara satu sama lain.

Pihaknya tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dalam semua kes terbabit dan diklasifikasi sebagai mati mengejut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM