fb fb fb fb fb

Tiga ditahan terbabit 'phone scam' di Saratok

Tiga individu ditahan di Saratok, Sarawak kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian atau 'phone scam'

BETONG, 7 Oktober- Polis Saratok menahan tiga individu termasuk dua wanita disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian atau 'phone scam' menerusi Op Kesan 01/2025 yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Saratok semalam.

Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mathew ak Manggis berkata, operasi diketuai Inspektor Sopian Zainuddin itu membawa kepada penahanan seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 23 hingga 33 tahun.

"Tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan disyaki pemilik akaun yang digunakan dalam kes penipuan di Pulau Pinang sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM3,500," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan kedua membabitkan seorang wanita tempatan yang disyaki menyamar sebagai pegawai polis dan menyebabkan mangsa di Keningau, Sabah kerugian RM14,400, manakala tangkapan ketiga melibatkan seorang wanita berusia 33 tahun disyaki terbabit dalam kes penipuan pinjaman tidak wujud dengan kerugian RM27,460.

Ketiga-tiga suspek dipercayai berperanan sebagai pemilik akaun bank atau 'mule account' yang digunakan untuk menyalurkan wang hasil kegiatan jenayah berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan lanjut dijalankan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA