fb fb fb fb fb

Darah pada kertas dan botol kaca disahkan milik Zara Qairina

Foto kecil: Zara Qairina

KOTA KINABALU, 7 Oktober- Mahkamah Koroner di sini hari ini dimaklumkan bahawa kesan darah yang ditemui pada beberapa helaian kertas dan satu botol kaca disahkan milik pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Perkara itu disahkan oleh ahli kimia Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor, Nor Aidora Saedon, 52, yang memaklumkan demikian ketika membacakan penyataan saksi pada prosiding inkues kematian remaja berkenaan yang diteruskan hari ini.

Beliau berkata antara bahan bukti yang mempunyai kesan darah ialah beberapa helaian kertas dan sebotol kaca -- masing-masing ditanda sebagai WK15(3)(a), WK15(8)(a), WK15(9)(a) serta WK33 hingga WK35.

Menurutnya, semua bahan berkenaan telah diambil untuk ujian calitan asid deoksiribonukleik (DNA) dan hasil analisis mendapati bahan bukti WK15(3)(a) mengandungi DNA milik Zara serta seorang individu lain, manakala selebihnya disahkan milik mangsa sepenuhnya.

Nor Aidora turut memaklumkan bahawa beliau menerima sebanyak 37 bahan bukti termasuk pakaian, barang peribadi, buku, lembaran kertas dan beberapa spesimen seperti tulang, kuku dan putik kapas dengan kesan darah daripada seorang inspektor polis pada 11 Ogos lalu untuk dianalisis.

Prosiding turut menyaksikan beliau membentangkan dan menandakan bahan bukti satu persatu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA